Remaja sambut Krismas pertama sebagai rakyat Malaysia hasil usaha nenek

[ad_1]

Sandra Lee berharap keluarganya dapat meraikan Krismas tanpa perlu risau mengenai status kerakyatan cucunya, Edward Tan lagi.

KLANG: Hasrat terbesar nenek berusia 73 tahun, Sandra Lee menjadi realiti, apabila cucunya diiktiraf rakyat Malaysia.

Dilahirkan kepada bapa warganegara Malaysia dan ibu warga Indonesia di luar nikah, Edward Tan tiada kerakyatan kerana tidak berhak mendapat kewarganegaraan bapanya.

Walaupun diambil sebagai anak angkat oleh bapa kandung dan ibu tiri pada 2012, beliau masih gagal mendapat kerakyatan yang diidamkannya.

Tetapi, Lee tidak pernah berputus asa. Beliau menjadikan ia misinya untuk mendapatkan kerakyatan cucunya yang berusia 15 tahun. Bagaimanapun, halangan terbesarnya ialah tidak tahu hendak bermula dari mana.

“Saya langsung tak tahu cara mendapatkan kewarganegaraan untuk Edward. Saya bahkan ditipu RM6,000 oleh seseorang yang mengatakan dia boleh mendapatkan kerakyatan untuk cucu saya,” katanya kepada FMT.

Lee mempunyai seorang rakan peguam yang membantunya memohon kerakyatan untuk Tan pada 2012. Namun, mereka buntu selepas surat yang diterima pada 2013 memaklumkan permohonan mereka tidak berjaya.

Keadaan berubah pada 2016 selepas Lee membaca kisah Navin Moorthy – yang pada usia 17 tahun menerima kerakyatannya selepas penantian selama enam tahun – dan berunding dengan peguamnya, Annou Xavier yang menasihatinya memohon semula kewarganegaraan untuk cucunya.

“Pada 2016, kami memohon semula. Tetapi, jawapannya tidak pernah diterima. Jadi, Xavier menasihatkan kami menulis surat dan terus menghubungi kementerian untuk mendapatkan maklum balas, akhirnya masih tiada apa-apa yang berlaku.

“Pada 12 Dis lalu, kami menerima surat kelulusannya. Kami semua sangat gembira kerana merasakan beban ini sudah tiada,” kata Lee.

Tan turut senada dengan berkata: “Saya gembira kerana kewarganegaraan saya telah diluluskan. Saya akhirnya boleh berjalan dengan bebas dan tidak perlu takut lagi.”

Selepas tujuh tahun membuat panggilan dan menghantar surat tidak terkira banyaknya kepada Kementerian Dalam Negeri, Tan akhirnya menerima surat kelulusannya.

Krismas pertama sebagai rakyat Malaysia

Edward Tan menunjukkan surat kelulusan permohonan kewarganegaraannya.

Selepas Tan diiktiraf rakyat Malaysia, Lee berharap keluarganya dapat meraikan Krismas dengan meriah tanpa perlu bimbang dengan status kewarganegaraannya.

Tan gembira akhirnya dapat menyambut Krismas sebagai rakyat Malaysia yang bangga.

“Sebelum mendapat kerakyatan, saya masih berbangga menggelar diri rakyat Malaysia. Tahun ini, saya harap saya dapat beraya bersama keluarga dan khasnya nenek kerana dia banyak membantu saya selama ini.

“Kepada semua individu masih bergelut dengan status kerakyatan mereka, saya harap anda kuat dan jangan putus harapan. Teruskan hingga anda mendapat kewarganegaraan anda.”

[ad_2]
FMT Article

Buy and Ship from any location

Shopping Cart